Kamis, 20 November 2008

BECHAH LAUT BURU JUARA



TANAH MERAH: Meskipun tidak sepantas pasukan dalam jajahan lain, namun pemain badminton Sekolah Kebangsaan Bechah Laut (SKBL) mula menunjukkan kebolehan mereka untuk terus memberikan saingan kepada pasukan lawan dan mula menanam impian memburu juara 2009 nanti.

Penolong Kanan Ko Kurikulum sekolah tersebut, Hashim Semail berkata, ilmu yang diperolehi daripada kem bakat baru-baru ini ternyata sudah memberikan kesan positif kepada pasukan dididikannya.

Katanya, ada di kalangan pemainnya sudah mampu melakukan pkukulan kencang yang mengelirukan lawan. Malah sesetengah pemain yang memiliki ilmu dari kem tersebut, sudah mula menunjukkan kemahiran mengawal gelanggang dengan baik dan sempurna.

“Saya yakin, kalau latihan berterusan diberikan kepada mereka, mereka akan jadi pemain badminton yang hebat dan terkenal,” katanya.

Hashim berkata, perlawanan persahabatan akan diadakan dari masa ke semasa dalam ikhtiar menjadikan mereka pemain badminton berpotensi. Melalui perlawanan persahabatan itulah, bakat pemain mudah dikesan.

Menurutnya, biarpun pertama kali menyertai kem ini namun kesemua anak buahnya sudah menyatakan hasrat mahu memburu juara.

“Apa yang disuarakan itu sebenarnya cita-cita mereka. Saya kagum dengan cita-cita itu dan saya yakin 2009 nanti badminton jajahan ini akan jadi hebat dan mampu lahirkan ramai jaguh badminton remaja yang terkenal,” katanya.

Kata Hashim, beliau turut merasa bangga dengan impian dan harapan daripada pemain mudanya itu dan berharap impian tersebut menjadi kenyataan.

Kisah-kisah mengenai kejayaan pemain badminton negara ke peringkat dunia sentiasa di ceritakan dalam usaha memupuk minat mereka ke arah kecemerlangan sukan tersebut.

Untuk itu Hashim berharap, dalam usaha merealisasikan impian pelajarnya, seluruh warga SKBL turut membantu bagi kecemerlangan sukan tersebut.

“Terima kasih kepada guru besar yang bersemangat di dalam sukan ini. Saya mula menanam sesuatu yang memungkinkan mereka menyaingi sesiapa sahaja dalam jajahan ini. Kalau orang lain boleh berjaya, pasukan saya juga mampu menggapai impian tersebut,” katanya.

Tidak ada komentar: